Cart 0

Kraf, songket Malaysia di Harrods

PRESS 8

Kraf, songket Malaysia di Harrods

01.23.07 Berita Harian


PIC: MOHD SHAFIE mencuba alat tenunan kain songket sambil di perhatikan oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Abdullah Abdul Rahman (kanan) selepas menyampaikan set tenunan kepada 206 penenun songket di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU: Industri kraf negara terutama produk songket dijangka berkembang apabila dipamerkan di gedung beli-belah Harrods, London, sempena pelancaran Promosi Kraf Malaysia pada 25 Februari depan.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata promosi bertujuan memperkenalkan songket selepas batik mendapat permintaan menggalakkan di Eropah.

Beliau berkata, promosi berlangsung sebulan sebelum produk berkenaan dipasarkan di gedung berkenaan.

"Gedung Harrods mendapat pulangan jualan 600 juta pound setahun dan jika kita berjaya tarik selera pembeli di sana terhadap produk kita, saya yakin kita dapat menjana ekonomi negara, " katanya selepas menyampaikan set tenunan kepada 206 penenun songket di Terengganu.

Beliau berkata, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berkenan menghadiri Promosi Kraf Malaysia itu.

Mohd Shafie berkata, kementerian juga sedang meningkatkan penyelidikan bagi meningkatkan mutu pengeluaran dan teknik yang digunakan dalam penghasilan songket.

Beliau berkata, industri songket sebenarnya mempunyai pasaran lebih luas dan boleh transformasi untuk menghasilkan kertas dinding bagi menggantikan kertas dinding import.

 "Kita harus memperbanyakkan kegunaan songket dan jangan terhad kepada kasut, kain dan beg tangan saja. Dari situ kita boleh kembangkan industri berkenaan dan impian untuk menjadikannya sebagai antara sumber pendapatan negara menjadi kenyataan," katanya.



Older post Newer post